Isnin, 5 Mei 2008

Kehadiran "orang lama" UMNO ke Johor

Seperti yang di laporkan oleh Malaysiakini 5 May, kehadiran Tengku Razaleigh Hamzah ke Batu Pahat dan Muar pada 4 Mei lalu dilihat sebagai usaha beliau untuk melihat sejauh mana beliau masih mampu memberi saingan kepada pimpinan UMNO sedia ada yang beliau sifatkan sudah jauh tersasar dari perjuangan sepatutnya.
Sekalipun SH Al Attas menyifatkan Ku Li sebagai Ayam tua, namun ketakutan dikalangan pimpinan UMNO dikhabarkan agak terasa. Khabarnya ada arahan agar ahli-ahli UMNO tidak menghadiri perjumpaan tersebut yang menyebabkan kehadiran dilaporkan agak dingin. Namun jika benar beliau masih mempunyai pengaruh yang agak baik, dan bersedia untuk menentang Pak Lah, rasanya Pak Lah punya asas untuk berasa bimbang.
Diwaktu pertembungan Ku Li dgn Dr Mahathir 20 tahun dulu beliau hanya kalah dengan bilangan undi yang sangat tipis. Mungkinkah mood benci Pak Lah kali ini memberi peluang untuk beliau untuk menduduki kerusi Empuk Presiden UMNO? Namun kalau dilihat masa depan UMNO hari ini, rasanya lebih baik Ku Li lupakan saja cita-cita tu... Kalau kalah jadi abu, menang pun jadi arang. Mungkin Ku Li meletakkan perjuangan berani matinya kali ini sebagai bukti beliau benar-benar sayangkan UMNO (baru) dan ianya satu usaha beliau untuk menyelamatkan UMNO (baru).
Kalau beliau kalah, sudah pasti beliau akan sekali lagi menjadi golongan Team B dalam UMNO (walaupun waktu S46 dulu Pak Lah pun dilihat rapat dengan kalangan Team B). Kalau Ku Li menang sekalipun, beliau terpaksa menanggung biawak hidup UMNO yang ditinggalkan oleh Pak Lah. Lebih tepat lagi legasi busuk (pinjam perkataan khairi dalam Parlimen 5 April) pak lah dan kabinet dapurnya.
Sanggupkah Ku Li mentadbir negara yang negeri-negeri kayanya telah berada dalam genggaman pakatan rakyat? Negeri yang tinggal dalam pentadbiran BN hanyalah negeri-negeri miskin yang sumbangan KDNK nya terhadap negara hanya sekitar 30 peratus? Cukuplah tu Ku Li, usaha tengku nak selamatkan UMNO hari ni mungkin boleh disifatkan sebagai usaha seorang tua untuk menyelamatkan Titanic dari karam. Ingat, Titanic tenggelam akibat sikap sombong dan bongkak manusia ("Even God Can't Sink This Ship" pernah dengar ayat ini kan?)
Mungkin Kapal UMNO telah pun melanggar Iceberg 8 Mac lalu selepas Nakhodanya tidak memperdulikan amaran dari peninjau yang berada di atas menara tentang ketulan ais besar di laluan kapal berkenaan. Sebahagian dari kapal ini telah pun tenggelam, kini hanya tinggal menunggu masa untuk keseluruhan kapal ini mencecah dasar laut...
Semoga Allah mempercepatkan proses ini... Amin...

Ku Li Mula Berkempen Di Johor Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil 5/05/2008 01:48:00 PM 0 Pandangan »



Tengku Razaleigh Hamzah @ Ku Li telah hadir ke Johor semalam untuk menghadiri dua program di Batu Pahat dan Muar. Dilaporkan dalam Bernama dan disiarkan di dalam Malaysiakini, Ku Li telah membuat ucapan dan gesaan agar UMNO mesti menjaga Johor dan memastikan bahawa Johor tidak akan terlepas daripada pemerintahan UMNO.


Mengikut maklumat yang saya perolehi, tidaklah ramai yang dapat hadir dalam pertemuan di Batu Pahat namun pelbagai peraka telah dilontarkan oleh Ku Li terhadap perkembangan politik yang sedang melanda UMNO dan politik negara ketika ini.


Program ini dilihat sebagai medan Ku Li untuk memulakan kempen persediaan untuk bertanding kerusi Presiden UMNO pada bulan Disember nanti. Apa tidaknya, Ku Li telah memberikan gambaran buruk terhadap Pak Lah dan Najib yang dilihat gagal dalam kepimpinan sehingga BN kehilangan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Begitu juga dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang sudah tidak lagi meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama tetapi lebih mengutamakan 'kepentingan perut' pemimpin.


Ku Li juga memberikan gambaran bagaimana PAS merupakan parti yang semakin kuat di Johor dan berkemungkinan UMNO/BN akan berhadapan dengan kesukaran untuk merampas kembali kerusi Dun Maharani dan Dun Sungai Abong daripada PAS.


Setelah mendengar pandangan dan kritikan daripada Ku Li, peserta-peserta program memberikan sokongan kepada Ku Li untuk beliau bertanding jawatan Presiden UMNO, namun Ku Li tidak begitu memberikan respon terhadap perkara ini.


Kehadiran agak seimbang di antara golongan veteran dan golongan muda membuktikan kepada kita bahawa Ku Li walaupun beliau merupakan kepimpinan lama dalam UMNO tetapi masih lagi dilihat oleh golongan anak muda sebagai pemimpin yang masih relevan.


Apapun, saya masih melihat bahawa kehadiran Ku Li ke Johor semalam adalah dengan tujuan untuk melihat sendiri sama ada beliau masih ada sokongan dan harapan daripada negeri UMNO yang kuat di dunia. Sekiranya sokongan terhadapnya luar biasa di Johor, maka harapan untuk mendapat sokongan di negeri UMNO yang lain diyakini akan lebih baik.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
5 Mei 2008, 2.27 petang
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
http://minda-kembara.blogspot.com/

Tiada ulasan: