Jumaat, 16 Mei 2008

Penyampaian Sumbangan Hari Guru Kawasan Muar



Sebagai menghargai sumbangan para guru PAS Kawasan Muar telah mengatur pemberian sumbangan sempena hari guru kepada guru-guru di Sekolah sekitar Kawasan Muar. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Muar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N15 Maharani, Dr Mohamad Bin Taslim serta Setiausaha PAS Kawasan Muar, Saudara Malik Bin Mohamed Diah.

Cikgu... Selamat Hari Guru

Kepada para guru, Pensyarah dan semua yang mencurahkan bakti untuk mendidik umat manusia ini, kami ucapkan SELAMAT HARI GURU


Kesibukan masa membataskan saya untuk mencoretkan sesuatu untuk para guru pada tahun ini. Tahun yang lalu, bukan sekadar coretan tersebut tercatat di sini, malah ia turut di'copy & paste' dalam blog yang lain termasuklah disiarkan dalam akhbar Wasilah..Apapun, selamat menyambut Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di Malaysia tidak kiralah sama ada anda adalah guru prasekolah seperti PASTI, Kemas dan Tabika, sama ada anda adalah guru di peringkat sekolah rendah atau menengah, sama ada anda adalah tenaga pengajar di Pusat Matrikulasi, Kolej, Pusat Latihan dan Universiti. .
Sesungguhnya tugas seorang guru sememangnya cukup perit akhir-akhir ini. Jika anda seorang guru di sekolah kerajaan terutamanya, anda bukan sahaja terpaksa mengajar di dalam kelas tetapi perlu juga melibatkan diri di dalam aktiviti kokurikulum. Di tambah lagi dengan kerja-kerja pengkeranian seperti rekod pelajar, key in keputusan peperiksaan, perlu menghadiri mesyuarat di dalam dan luar sekolah, menyediaan dan menanda kertas peperiksaan, tempahan itu dan ini, masalah disiplin pelajar yang semakin tinggi prestasinya. Sehinggakan, tugas dirumah kadang-kadang sudah tidak dapat nak diuruskan lagi terutamanya guru wanita yang punya tanggungjawab yang menjurus menguruskan hal-hal rumah..
Namun, gunakanlah peluang dan ruang yang ada ini sebagai seorang pendidik dengan niat untuk mendidik generasi muda yang semakin jauh daripada jatidiri sebenarnya. Pelajar-pelajar terutamanya anak-anak melayu sudah jauh daripada kemelayuan dan agamanya. Akhlak dan moral sudah semakin tipis sehinggakan kes bergaduh, berzina (seks bebas), mencuri ponteng sekolah, dadah dan sebagainya semakin menjadi-jadi..
Akhir kata, mudah-mudahan segala pengorbanan anda akan diberikan ganjarannya oleh Allah sama ada ketika anda hidup dunia tetapi yang sudah pasti ganjarannya akan diterima di akhirat nanti, ameen....
SELAMAT HARI GURU.Ucapan Selamat Hari Guru ini juga saya ucapkan kepada isteri saya, adik-adik saya, adik-adik ipar saya, guru-guru PASTI di seluruh negara dan guru-guru yang pernah mendidik saya..
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
16 Mei 2008


Selasa, 13 Mei 2008

MB dan ADUN Pakatan Rakyat Perak naik bas ke Parlimen

Oleh cina-islam
"IPOH, 12 Mei :- Sejarah dilakar oleh ADUN-ADUN Pakatan rakyat bersama Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin apabila untuk pertama kalinya mereka ke Bangunan Parlimen dengan menaiki bas bersama-sama.
Menjawab pertanyaan wartawan di bangunan SUK Ipoh sebelum melangkah menaiki bas, Ir. Nizar menyatakan langkah yang dilakukan adalah untuk berjimat dan mengurangkan perbelanjaan tuntutan yang besar kalau semua ADUN PR ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereka sendiri.
Dalam Sidang akhbar dibangunan Parlimen, beliau mengatakan lawatan tersebut adalah dengan tujuan mengikuti perbahansan di Dewan rakyat untuk mendapatkan pendedahan dan melihat pengalaman yang ditimba. Kami datang demgan menaiki bas mudah-mudahan dalam sidang DUN Perak kami dapat menjawab soalan dalam sisi perbahasan.
Dalam kesempatan lawatan tersebut rombongan telah mengadakan kunjungan hormat kepejabat Ketua pembangkang, Datin Seri Wan Azizah, Preesiden Pas, Dato' Seri TG. hj. Abdul hadi Awang dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Sdr. Lim Kit Siang.
Ir. Nizar juga menyatakan suapaya para wartawan media arus perdana dan alternatif melapor sesuatu untuk menyakinkan rakyat. dan pemberitaan yang benar dan salah akan dipertanggungjawab oleh Allah SWT.

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Petikah dari Laman Web Saudara Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah meneliti terhadap kes murtad yang melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia yang telah memeluk agama Islam pada tahun 1998 dan akhirnya telah diistiharkan murtad atau keluar daripada agama Islam pada 8 Mei 2008 yang lalu. Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang telah membuat keputusan tersebut dengan mengambil kira hujah-hujah yang telah disampaikan oleh peguambela Siti Fatimah Tan dengan menyatakan bahawa Siti Fatimah Tan sejak daripada memeluk agama Islam tidak pernah mengamalkan ajaran Islam malah masih lagi mengamalkan agama asalnya iaitu agama Buddha.
DPPNJ memandang serius terhadap perkara ini kerana ia adalah merupakan satu keputusan yang memeranjatkan umat Islam di Malaysia. Walaupun penghujahan terhadap kes ini adalah untuk menentukan status agama Siti Fatimah setelah beliau telah memeluk agama Islam kerana ingin berkahwin dengan seorang lelaki Iran dan selama mana beliau mendaftarkan diri sebagai seorang Islam, beliau tidak pernah mengamalkan amalan sebagai penganut Islam malah masih lagi mengamalkan agama asalnya iaitu agama Buddha. DPPNJ melihat bahawa, walau apapun penghujahan yang diberikan terhadap kes ini sehingga Siti Fatimah berjaya menukarkan status agamanya kepada agama Buddha namun ia tetap bermakna bahawa Siti Fatimah telah keluar daripada agama Islam.
Perkara ini tidak disangkal lagi kerana realitinya Siti Fatimah telahpun mengucap syahadah ketika memohon untuk memeluk Islam pada tahun 1998.Kes seperti yang dialami oleh Siti Fatimah sebenarnya bukanlah perkara yang pelik di Malaysia ini kerana kes orang bukan Islam memeluk agama Islam di atas tujuan berkahwin dengan orang Islam sudah menjadi perkara biasa. Orang bukan Islam yang ingin berkahwin dengan orang Islam mestilah menukarkan agamanya kepada Islam supaya perkahwinan dapat diteruskan. Namun, kes menukarkan agama hanya kerana mahu berkahwin dengan orang Islam tidak menjadi persoalan sama ada penganut baru itu mengamalkan Islam atau tidak dalam kehidupan sehariannya namun statusnya tetap Islam.
DPPNJ percaya bahawa kes memeluk Islam kerana berkahwin sekiranya tidak ada susulan bimbingan kepada penganutnya maka akan menyebabkan seseorang itu akan hanya tinggal nama Islam sahaja pada nama.Apa yang pastinya, dalam kes Siti Fatimah, beliau tidak pernah dipaksa untuk menganuti agama Islam namun beliau telah bersetuju untuk menganuti agama Islam sebelum ini kerana ingin berkahwin dengan seorang lelaki Iran yang akhirnya meninggalkan Siti Fatimah tanpa khabar berita.
DPPNJ cukup bimbang dengan perkembangan ini kerana keputusan kes ini sudah pasti akan menjadi kes rujukan kepada mana-mana kes yang akan dibawa ke mahkamah Syariah pada masa akan datang. Seperti mana yang telah disebut oleh Presiden MCA, Ong Ka Ting bahawa ia adalah merupakan hak Siti Fatimah untuk memeluk Islam sebagaimana beliau juga berhak untuk kembali ke agama asalnya. Ianya adalah sesuatu bagi beliau untuk memutuskan dan bukan pihak lain.
Tidak mustahil selepas daripada ini, golongan muallaf yang terasa sudah tidak mahu lagi menjadi penganut agama Islam akan menggunakan penghujahan yang sama iaitu pemohon tidak pernah mengamalkan agama Islam sejak menganuti agama Islam malah masih lagi menganuti agama asalnya.
Kes ini juga bukan sahaja boleh dijadikan rujukan oleh golongan muallaf tetapi juga kepada penganut agama Islam sejak daripada kecil yang mereka telah diislamkan oleh keluarga mereka. Permohonan untuk menukar status agama akan berhujah di atas perkara bahawa pemohon tidak pernah mengamalkan ajaran agama Islam seperti tidak penah berpuasa, sembahayang dan membayar zakat tetapi terpaksa menganuti agama Islam kerana telah ditentukan oleh keluarga.
Apapun keadaannya, sesuatu perlu dilakukan untuk menyelamatkan akidah umat Islam di Malaysia. Sebelum perkara ini akan menjadi lebih parah, DPPNJ mendesak agar kerajaan :-
1. Melaksanakan segera Undang-undang Murtad di Malaysia. Dengan cara ini, agama Islam tidak akan dipermain-mainkan. Apabila ingin berkahwin maka mereka akan memeluk Islam manakala bila sudah berpisah atau seumpamanya mereka boleh keluar sesuka hati dengan pelbagai alasan.
2. Memperkasakan kembali institusi agama seperti Jabatan Agama, Majlis Agama dan Mahkamah Syariah agar ia benar-benar dapat menjalankan perintah Allah tanpa sekatan dan halangan.
3. Mengadakan sesi kaunseling, temubual dan tarbiyah kepada mana-mana pemohon yang ingin menganuti agama Islam terutamanya kerana atas dasar ingin berkahwin. Ini terbukti apabila Siti Fatimah menyebut bahawa beliau tidak pernah yakin dengan Islam walaupun telah memeluk Islam.
4. Mewajibkan kelas pendidikan agama secara berkala kepada muallaf. Majlis Agama Islam tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawab ini kepada pihak yang lain kerana perkara ini memerlukan perhatian yang serius.
DPPNJ juga mengesak agar tokoh-tokoh Islam termasuk Mufti-mufti dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya mengeluarkan pandangan dan pendirian mereka terhadap perkara ini.
DPPNJ menegaskan bahawa tujuan membangkitkan perkara ini bukan kerana DPPNJ memusuhi kepada mana-mana agama tetapi desakan ini dibuat di atas dasar untuk menjaga kesucian agama Islam yang semakin dipandang rendah oleh pelbagai pihak. Lebih-lebih lagi selepas Islam Hadhari dilaksanakan di Malaysia, kefahaman umat Islam terhadap agama semakin bertambah bercelaru dan keliru.
Sekian.
Membangun Bersama Islam
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 http://minda-kembara.blogspot.com

Jumaat, 9 Mei 2008

Berapa ramai dari kalangan kita yang menitiskan air mata dengan keputusan ini???

Seperti keluhan saudara Roslan, saya turut merasakan bahawa isu ini dipandang sepi oleh masyarakat Islam di Malaysia. Samada ianya keputusan mahkamah atau keputusan siapa, bukanlah soalnya.


Yang menjadi persoalan adalah, dimanakah masa depan Islam di negara kita yang dikatakan sebuah negara Islam? Jika dengan isu sebesar ini masyarakat masih tidak merasakan ianya satu tamparan kepada kita, dimanakah lagi sensitiviti kita sebagai umat Islam?
Petikan dari Blog Roslan SMS

Akhbar “The Sun” dengan begitu bangga memaparkannya di muka depan. Hakikatnya memang si “murtad” berazam untuk kekal dengan agama asalnya, beliau memohon di mahkamah syariah, dan atas sebeb keterbatasan peraturan dan undang-undang yang ada lantaran tiadanya keutamaan untuk hal ini oleh pihak pemerintah, maka hakim terpaksa membenarkan permohonan tersebut.

Soalnya, mengapa keputusan pihak mahkamah itu dianggap sebagai satu kejayaan besar sehingga pihak akhbar mengekori si “murtad” untuk menghidangkan gambar dan tajuk ini kepada rakyat?Saya tidak tahu bagaimana dengan yang lain, tetapi saya melihat gambar dan tajuk ini memberikan isyarat bahawa peraturan Islam yang terpakai dalam negara ini sangat longgar, oleh itu langgar sahaja bila perlu, hatta sehingga mahu masuk Islam kerana nafsu dan kemudiannya murtad tidak menjadi masalah besar. Sedih, pilu bila menatap gambar ini dan membaca laporannya.

Tahniah Tan Ean Huang kerana anda telah membuktikan bahawa pemimpin Islam yang berkuasa dalam negara ini sesungguhnya tidak pedulikan sangat nasib dan maruah agamanya. Mereka Islam tetapi mereka tidak pernah ambil kisah apa yang akan terjadi pada agamanya.Pada hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari ini, saya menyeru kepada semua agar bangkitlah mempertahankan kemuliaan Islam. Desak semua wakil rakyat Islam samada dari BN, PAS atau PKR agar melakukan sesuatu bagi mengemaskan kembali pentadbiran Islam dalam negara, kalau mereka tidak ada “political will” kita gantikan sahaja mereka semua dengan yang lebih berani

Khamis, 8 Mei 2008

Khir Toyo kata : Mudah Berjanji, Mudah Lagi Memungkirinya


Salam,

Hari ini saya membaca tulisan Dr Khir Toyo tentang pengumuman Tan Sri Khalid yang Kerajaan Selangor belum dapat menunaikan janji untuk menurunkan cukai pintu sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto Pilihanraya PKR.

Antara kenyataan beliau dalam tulisannya, "Sebenarnya pengurangan ini tidak memberi beban yang berat kepada kerajaan Selangor kerana ia hanya akan mengurangkan pendapatan sejumlah lebih kurang RM 170 juta setahun".

Satu perkara yang pelik, seandainya pengurangan cukai ini tidak membebankan kerajaan Selangor, mengapa Kerajaan pimpinan Dr Khir Toyo tidak pernah berusaha untuk menghadiahkan jumlah tersebut kepada rakyat Selangor yang sudah puluhan tahun memberikan kepercayaan kepada BN untuk memerintah Selangor? Mungkinkah ini satu bukti bahawa kerajaan pimpinannya tidak pernah peduli dengan kebajikan dan kepentingan rakyat Selangor?

Jangan jadi golongan yang disebut oleh wakil BN dalam sidang Parlimen semalam, waktu berkuasa tak ambil kisah, bila dah tak ada kuasa, baru sibuk nak tunjuk "concern"

http://www.drkhir.com/%20Tuesday, May 6, 2008

Mudah Berjanji, Mudah Lagi Memungkirinya

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers,

Sebenarnya tidak molek bagi saya menulis catatan ini kerana ramai yang berpandangan seseorang pemimpin atau kerajaan itu perlu diberi ruang dan peluang yang secukupnya untuk menunjukkan kemampuan memimpin - sekurang-kurangnya selama 100 hari.

Namun saya fikir, pengumuman terbaru oleh YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu diulas kerana ia merupakan satu isu yang serius. Pengumuman kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat tidak akan menurunkan cukai pintu di rumah kediaman sebanyak 20% dan cukai premis komersial sebanyak 10% adalah sesuatu yang telah lama saya jangkakan. Artikel sepenuhnya

Selasa, 6 Mei 2008

TEGAKKAN KETUANAN ISLAM

TEGAKKAN KETUANAN ISLAM
Petikan dari http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

Ironisnya situasi pasca PRU 12 ini apabila pelbagai pihak cuba menjadi juara dalam menangani isu Perpaduan Melayu . Kononnya melayu dilihat terhimpit dan kian terhakis . Keputusan pilihanraya umum baru - baru ini dianggap sebagai indeks yang menunjuk aras kedudukan melayu masa kini .

Kekalahan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum yang lalu khasnya di 5 buah negeri yang kini dikuasai oleh PAKATAN dianggap sebagai kejatuhan dan kemusnahan bangsa melayu .

Saya nyata sangat tidak bersetuju dengan tanggapan sedemikian , sebaliknya melihat bahawa ini adalah usaha UMNO dan BN untuk menutup atau melindungi aib mereka lantaran kalah teruk dalam PRU 12 tempoh lalu . Menyembunyikan kegagalan mereka ( sehingga kini antara mereka masih bertelagah dalam menuding antara satu sama lain agar mengambil tanggungjawab atas kekalahan mereka ) lalu menganggap melayu dan ketuanannya kini lemah dan tercabar .

Bertolak dari isu yang mereka cipta , gelombang kebangkitan dan pemulihan ketuanan melayu mula digerakkan . Pada mereka apabila UMNO kalah maka melayu kalah . Walhal UMNO tidak lagi dilihat mewakili orang melayu sebaliknya perjuangan UMNO lebih tertumpu kepada golongan elit dan kroni para pemimpin mereka sebagaimana ianya diakui oleh Tengku Razaliegh Hamzah .

Mereka mula menjual muka untuk mencari simpati rakyat dalam usaha memulihkan keyakinan mereka terhadap prestasi yang buruk dalam PRU 12 lalu dengan menjadikan isu Ketuanan Melayu sebagai perangkap .

Sebagai rakyat berbangsa melayu , saya bangga dengan bangsa saya dan saya bangga menjadi melayu . Saya juga mahukan bangsa saya hebat di mata dunia dengan memiliki maruah dan harga diri yang tinggi .

Tetapi UMNO tidak layak untuk bercakap soal melayu apalagi untuk bercakap soal ketuanan melayu . Selain daripada UMNO adalah sebuah parti perkauman dan hanya bercakap soal melayu dengan bahang api perkauman dikala mereka tersepit dan kalah seperti ini , UMNO lebih dilihat sebagai pengkhianat bangsa dan perosak anak bangsa sendiri .

Sejarah tidak mungkin dapat melupakan tindakan "jahat" UMNO menghapuskan tulisan jawi sehingga melahirkan generasi yang buta jawi dan al Quran . Implikasinya , generasi ini membesar dalam keadaan jauh dari petunjuk Ilahi dan mereka mula terpesong dengan menjebakkan diri secara mudah dalam kancah maksiat dan mungkar .

UMNO mungkin tidak dapat memaafkan diri mereka sendiri apabila bertindak "bodoh" demi mengekalkan kuasa mereka , dalam kesempatan membentuk persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi sessi penggal 2003/2004 tidak menambah langsung kerusi parlimen di kawasan majoriti melayu seperti Kedah , Perlis , Terengganu dan Kelantan berasaskan kebimbangan pihak PAS akan menang besar dalam pilihanraya .

Samalah sebagaimana UMNO "mendera" rakyat yang rata - ratanya berbangsa melayu di negeri Terengganu dangan merampas Royalti minyak petroleum Terengganu sedang mereka membayarnya untuk Sabah dan Serawak .

Menutup dua buah MRSM di negeri Terengganu berasaskan "dendam" politik di zaman PAS menguasai negeri tersebut turut dilihat sebagai jenayah UMNO terhadap bangsa melayu .
Bertambah parah apabila UMNO kelihatan nekad membantai dan membelasah orang melayu yang rata - rata beragama Islam apabila mereka meruntuhkan institusi ibadah orang melayu yang beragama Islam seperti masjid dan surau dan ini berlaku di Kg. Bujal Terengganu, Kampung Berembang di Ampang , Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi dan demikian mereka mengunci surau dan masjid seperti apa yang berlaku kepada surau seksyen 18 di Shah Alam dan lainnya.

UMNO juga bertanggungjawab memberi tekanan ke atas sekolah agama rakyat (SAR) dengan tidak lagi memberi bantuan perkapita kepada sekolah - sekolah agama milik rakyat yang umumnya pelajar SAR ini adalah orang - orang melayu yang beragama Islam sehingga akhirnya sebahagian SAR rebah menyembah bumi dan tidak lagi mampu beroperasi dengan baik untuk mebekalkan ilmu agama kepada rakyat.

Tiada siapa yang dapat memaafkan UMNO apabila mereka menangkap dan memenjara malah menyeksa pemimpin - pemimpin melayu terutama daripada PAS hanya kerana mereka menentang UMNO dalam sebuah negara demokrasi . Pula tidak pernah mereka membicarakan para pemimpin melayu yang mereka tahan secara adil di mahkamah sebaliknya menggunakan akta draconian ISA untuk kepentingan atau survival kuasa politik mereka .

Pemimpin UMNO mengambil kesempatan di atas mandat undi rakyat untuk mengautkan keuntungan membina empayar dan kemewahan keluarga dan kroni mereka bertaraf million ringgit , sementara rakyat khasnya yang berbangsa melayu terus melarat sehingga masih ada kampung melayu dalam negeri maju di negara ini di sampai elektrik dan air.

Bila UMNO menjaga melayu ? lihat aksi mereka menjelang pilihanraya . Sasaran mereka ialah Kelantan yang Menteri Besar dan Exco serta rakyatnya majoriti melayu . Mereka dera Kelantan lebih 17 tahun hanya kerana semata - mata Kelantan menolak kepimpinan UMNO . Sedang mereka tidak peduli nasib orang melayu di Pulau Pinang yang pernah disebut oleh Tun Dr. Mahathir bagai berada di zaman perang dunia kedua. Mereka juga tidak ambil endah kesan ke atas orang melayu di Johor dengan projek Pembangunan Wilayah Iskandar apabila mereka membuka kawasan itu kepada Singapura .

Melayu mana yang UMNO jaga ? Melayu mana yang UMNO peduli ?

Apalagi melayu yang tinggal pada UMNO melainkan hanya tahu menghunus keris di saban mesyuarat agong mereka tetapi penakut dan bacul terhadap tekanan kuasa luar terutama yang membabitkan isu ummat Islam biarpun UMNO melalui presidennya pernah diberi penghormatan menjadi pengerusi OIC .

Paling ringan "azab" yang bakal UMNO terima ialah melalui dosanya memaksa pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris . Hari ni barulah mereka bertelagah dan saling mempersoalkan sesama sendiri atas kewajaran mengekalkan pengajian sains dan matematik dalam bahasa Inggeris . Bila UMNO pertahankan bahasa melayu bahasa ibunda ?

Entahlah , saya naik jelak apabila UMNO cuba bercakap soal melayu . Melayu yang mereka tindas dan khianati . UMNO menikam melayu dari belakang kemudian berlagak nak bercakap soal melayu .

Kalau dulu mungkin masyarakat mudah terpedaya dengan lakonan hebat para pemimpin opurtunis UMNO ini tetapi tidak pada kali ini . Ini adalah zaman bloggers dan websiters bukan zaman pengampu dan pengipas.

Pada saya UMNO hilang kelayakkan dan langsung tidak punya authority untuk bercakap soal melayu yang telah dikhianatinya.

Kalaulah ada sedikit peluang untuk UMNO bermuhasabah dan bertaubat dengan taubat nasuha , UMNO terlebih dahulu mengikis buang segala daki perkauman dan sikap opurtunis mereka sebelum mereka nak bercakap soal melayu .

KETUANAN ISLAM.

Soal bangsa boleh diperjuangkan tetapi tidak dengan semangat perkauman tetapi atas semangat agama yang penuh toleransi dan saling menghormati antara agama dan bangsa .
Agama Islam mengizinkan kita kasihkan bangsa tetapi tidak menghela kepada semangat perkauman sehingga bersikap prejudis terhadap kaum bangsa lain . Justeru itu , Ketuanan Islam wajar diperjuangkan . Islam selamat maka bangsa akan selamat .

Islam adalah agama yang tidak meletakkan warna kulit dan bahasa lidah sebagai kualiti dalam sistem nilainya , tetapi merujuk kepada taqwa dan ketundukkannya kepada Allah Tuhan yang mencipta alam ini.

Dalam khutbah al wada' ( dari Jabir bin Abdullah rha. ) Nabi saw. pernah bersabda :
يأيها الناس ألا إن ربكم واحد ألا إن أباكم واحد ألا لا فضل لعربي على أعجمي و لا لعجمي على عربي و لا لأسود على أحمر و لا أحمر على أسود إلا بالتقوى إن أكرمكم عند الله أتقاكم
Maksudnya : Wahai manusia ! Ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu . Sesungguhnya bapa kamu adalah satu . Ketahuilah ! Tiada kelebihan bagi Arab mengatasi bukan Arab dan tiada ( kelebihan ) bukan Arab mengatasi Arab dan demikian tiada ( kelebihan ) sikulit hitam mengatasi sikulit merah dan tiada ( kelebihan ) sikulit merah mengatasi sikulit hitam kecuali dengan TAQWA . Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dikalangan kamu .
Al Bukhari Jilid 1 . M/s 131 : Hadis no : 1652

Demikian membawa maksud yang sama , Allah berfirman di dalam surah al Hujurat ayat 13 bahawa Ia mencipta manusia yang terdiri dari kalangan lelaki dan perempuan malah berpuak - puak dengan pelbagai suku kaum untuk mereka saling kenal mengenal ( berinteraksi dan bekerjasama ) antara satu sama lain dan kemuliaan melalui sistem nilai Ilahi ialah kepada mereka yang paling bertaqwa kepadanya .

Islam membatasi isu perkauman dan sangat menghormatinya malah Islam telah menetapkan dasar tidak sekali - kali boleh kita memaksa orang lain memeluk ajaran Islam termasuklah menghina tuhan - tuhan mereka .

Ini sebahagian adab dan prinsip Islam yang berjaya meletakkan Islam sebagai sebuah agama yang sesuai untuk semua dan sangat toleransi dengan semua kecuali terhadap mereka yang menghina dan memeranginya.

Alhamdulillah , perkembangan semasa hari ini memperlihatkan sedikit demi sedikit tembok perkauman ini runtuh dan ia membuka ruang yang lebar untuk semua pihak menilai Islam dari dekat tanpa sebarang halangan besar .

Sekurang - kurangnya mereka akan memahami bahawa apa yang dilontar oleh barat selama ini adalah tidak lebih sekadar satu tohmahan jahat dan liar terhadap Islam .

Islam sebenarnya tidak asing kepada semua bangsa dalam negara kita . Islam terlebih dahulu sampai ke negera China berbanding Malaysia demikian juga India yang lebih awal menerima kemasukan Islam ke negara mereka . Melayu ternyata jauh lebih lewat menerima Islam berbanding China dan India .

Islam mengajar elemen yang suci dan baik serta menghormati perbezaan agama dan budaya . Lantaran itu , Islam andai diberi peluang , mampu meletakkan negara yang pelbagai kaum ini berada dalam satu hubungan raya antara kaum dan bangsa yang harmonis dan selamat . Tiada siapa yang akan dinafikan haq apalagi disakiti oleh pemimpinnya tanpa haq.
Lihat sajalah kepada 2 prinsip dan dasar kepimpinan Islam dalam isu hubungan antara kaum dan hak persamaan mereka dalam sebuah negara Islam , sebagai contoh saya perlihatkan :
Pertama kenyataan Saidina Abu Bakar as - Siddiq pada hari baginda dibaiah atau dilantik menjadi Ketua Pemerintah :

إني وليت عليكم و لست بخيركم فإن أحسنت فأعينوني و إن أسأت فقوموني الصدق الأمانة و الكذب الخيانة القوي فيكم ضعيف عندي حتى آخذ حق منه و الضعيف فيكم قوي عندي حتى آخذ حق له
Sesungguhnya akhu dilantik menjadi pemimpin kamu sedang aku bukanlah yang terbaik dikalanmgan kamu . Justeru itu , jika berlaku adil maka bantulah aku dan jika aku menyeleweng maka perbetulkan aku . Benar adalah amanah dan bohong adalah khianat . Orang kuat pada kamu adalah lemah padaku sehingga aku boleh mengambil suatu yang hak daripadanya sementara orang lemah pada kamu adalah kuat padaku sehingga aku mengembalikan haknya.
Kedua dapat dilihat melalui sikap Nabi saw. terhadap non muslim yang sedia berada dibawah pemerintahan Islam yang disebut sebagai kafir zimmi . :
من آذى ذميا فقد آذاني
Barang siapa yang menyakiti non muslim yang berada di bawah pemerintahan Islam ( zimmi ) maka ia telah menyakiti diriku .

posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi
dari http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

Isnin, 5 Mei 2008

Kehadiran "orang lama" UMNO ke Johor

Seperti yang di laporkan oleh Malaysiakini 5 May, kehadiran Tengku Razaleigh Hamzah ke Batu Pahat dan Muar pada 4 Mei lalu dilihat sebagai usaha beliau untuk melihat sejauh mana beliau masih mampu memberi saingan kepada pimpinan UMNO sedia ada yang beliau sifatkan sudah jauh tersasar dari perjuangan sepatutnya.
Sekalipun SH Al Attas menyifatkan Ku Li sebagai Ayam tua, namun ketakutan dikalangan pimpinan UMNO dikhabarkan agak terasa. Khabarnya ada arahan agar ahli-ahli UMNO tidak menghadiri perjumpaan tersebut yang menyebabkan kehadiran dilaporkan agak dingin. Namun jika benar beliau masih mempunyai pengaruh yang agak baik, dan bersedia untuk menentang Pak Lah, rasanya Pak Lah punya asas untuk berasa bimbang.
Diwaktu pertembungan Ku Li dgn Dr Mahathir 20 tahun dulu beliau hanya kalah dengan bilangan undi yang sangat tipis. Mungkinkah mood benci Pak Lah kali ini memberi peluang untuk beliau untuk menduduki kerusi Empuk Presiden UMNO? Namun kalau dilihat masa depan UMNO hari ini, rasanya lebih baik Ku Li lupakan saja cita-cita tu... Kalau kalah jadi abu, menang pun jadi arang. Mungkin Ku Li meletakkan perjuangan berani matinya kali ini sebagai bukti beliau benar-benar sayangkan UMNO (baru) dan ianya satu usaha beliau untuk menyelamatkan UMNO (baru).
Kalau beliau kalah, sudah pasti beliau akan sekali lagi menjadi golongan Team B dalam UMNO (walaupun waktu S46 dulu Pak Lah pun dilihat rapat dengan kalangan Team B). Kalau Ku Li menang sekalipun, beliau terpaksa menanggung biawak hidup UMNO yang ditinggalkan oleh Pak Lah. Lebih tepat lagi legasi busuk (pinjam perkataan khairi dalam Parlimen 5 April) pak lah dan kabinet dapurnya.
Sanggupkah Ku Li mentadbir negara yang negeri-negeri kayanya telah berada dalam genggaman pakatan rakyat? Negeri yang tinggal dalam pentadbiran BN hanyalah negeri-negeri miskin yang sumbangan KDNK nya terhadap negara hanya sekitar 30 peratus? Cukuplah tu Ku Li, usaha tengku nak selamatkan UMNO hari ni mungkin boleh disifatkan sebagai usaha seorang tua untuk menyelamatkan Titanic dari karam. Ingat, Titanic tenggelam akibat sikap sombong dan bongkak manusia ("Even God Can't Sink This Ship" pernah dengar ayat ini kan?)
Mungkin Kapal UMNO telah pun melanggar Iceberg 8 Mac lalu selepas Nakhodanya tidak memperdulikan amaran dari peninjau yang berada di atas menara tentang ketulan ais besar di laluan kapal berkenaan. Sebahagian dari kapal ini telah pun tenggelam, kini hanya tinggal menunggu masa untuk keseluruhan kapal ini mencecah dasar laut...
Semoga Allah mempercepatkan proses ini... Amin...

Ku Li Mula Berkempen Di Johor Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil 5/05/2008 01:48:00 PM 0 Pandangan »



Tengku Razaleigh Hamzah @ Ku Li telah hadir ke Johor semalam untuk menghadiri dua program di Batu Pahat dan Muar. Dilaporkan dalam Bernama dan disiarkan di dalam Malaysiakini, Ku Li telah membuat ucapan dan gesaan agar UMNO mesti menjaga Johor dan memastikan bahawa Johor tidak akan terlepas daripada pemerintahan UMNO.


Mengikut maklumat yang saya perolehi, tidaklah ramai yang dapat hadir dalam pertemuan di Batu Pahat namun pelbagai peraka telah dilontarkan oleh Ku Li terhadap perkembangan politik yang sedang melanda UMNO dan politik negara ketika ini.


Program ini dilihat sebagai medan Ku Li untuk memulakan kempen persediaan untuk bertanding kerusi Presiden UMNO pada bulan Disember nanti. Apa tidaknya, Ku Li telah memberikan gambaran buruk terhadap Pak Lah dan Najib yang dilihat gagal dalam kepimpinan sehingga BN kehilangan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Begitu juga dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang sudah tidak lagi meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama tetapi lebih mengutamakan 'kepentingan perut' pemimpin.


Ku Li juga memberikan gambaran bagaimana PAS merupakan parti yang semakin kuat di Johor dan berkemungkinan UMNO/BN akan berhadapan dengan kesukaran untuk merampas kembali kerusi Dun Maharani dan Dun Sungai Abong daripada PAS.


Setelah mendengar pandangan dan kritikan daripada Ku Li, peserta-peserta program memberikan sokongan kepada Ku Li untuk beliau bertanding jawatan Presiden UMNO, namun Ku Li tidak begitu memberikan respon terhadap perkara ini.


Kehadiran agak seimbang di antara golongan veteran dan golongan muda membuktikan kepada kita bahawa Ku Li walaupun beliau merupakan kepimpinan lama dalam UMNO tetapi masih lagi dilihat oleh golongan anak muda sebagai pemimpin yang masih relevan.


Apapun, saya masih melihat bahawa kehadiran Ku Li ke Johor semalam adalah dengan tujuan untuk melihat sendiri sama ada beliau masih ada sokongan dan harapan daripada negeri UMNO yang kuat di dunia. Sekiranya sokongan terhadapnya luar biasa di Johor, maka harapan untuk mendapat sokongan di negeri UMNO yang lain diyakini akan lebih baik.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
5 Mei 2008, 2.27 petang
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
http://minda-kembara.blogspot.com/