Sabtu, 22 Mac 2008

Al Fatihah kepada Saudara Ismail Ibrahim dan Ustaz Zakaria Noor



Pada pagi Jumaat, 21 Mac 2008, PAS Negeri Johor telah kehilangan seorang tokoh apabila Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Bakri, Saudara Ismail Ibrahim telah kembali ke Rahmatullah. Allahyarham Saudara Ismail telah meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar akibat serangan jantung. Allahyarham merupakan seoran aktivis yang bergiat dengan PAS sejak sekian lama. Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah Ketua Pemuda PAS Negeri Johor dan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Johor.

Belum pun hilang luka kehilangan tersebut, PAS Johor menerima satu lagi kejutan apabila Ustaz Zakaria Noor pula dijemput Allah untuk menemuinya. Berita pemergian beliau disambut dengan rasa sangat terkejut oleh semua kerana sehari sebelum itu, Allahyarham bersama-sama dengan sahabat-sahabat lain berada di satu majlis Maulidurrasul. Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bakri dan juga EXCO Dewan Pemuda PAS Negeri Johor. Antara yang turut bersama menziarahi Jenazah termasuk ADUN Sungai Abong, Dr Syeikh Ibrahim dan ADUN Maharani, Dr Mohamad Taslim.

Pemergian 2 tokoh besar dalam PAS Negeri Johor ini pasti sangat di rasai kesannya bukan hanya bagi kawasan Bakri tetapi juga PAS Negeri Johor secara keseluruhannya. Semoga Allah menempatkan mereka dikalangan para Syuhada di sisiNya.

Al Fatihah

Ahad, 16 Mac 2008

Siapa patut di bantah?

Petang ini, (16 Mac 2008) menyaksikan sejumlah penunjuk perasaan berkumpul di padang Ipoh, Perak untuk membantah tindakan terhadap Lim Kit Siang yang dikatakan mengarahkan semua ADUN DAP memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak. Tindakan tersebut dikatakan kerana DAP pada awalnya tidak bersedia menerima keputusan untuk memilih Ir Nizar dari PAS untuk mengepalai Kerajaan baru negeri Perak.

Satu himpunan seumpama ini sepatutnya di buat di Perlis bagi membantah tindakan Shahidan Kasim yang terang-terang mengengkari keputusan Raja Perlis yang memilih Dato Isa Sabu sebagai menteri besar Perlis yang baru. Ini kerana senario di Perak tidak seburuk di Perlis kerana Lim Kit Siang akhirnya telah mengambil tindakan untuk memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak setelah beliau menyedari kesilapannya, sehari selepas arahan memulaukan majlis angkat sumpah tersebut. Namun Shahidan setakat ini masih mempertahankan pendirian bahawa dia lebih berhak dilantik sebagai menteri besar kerana dia menerima watikah perlantikan Menteri Besar dari Pengerusi Barisan Nasional.

Satu soalan yang mungkin perlu sama-sama kita tanya, siapa sebenarnya yang berhak melantik Menteri Besar? Pengerusi Barisan Nasional atau Sultan? Mungkin penasihat undang-undang Shahidan boleh menjawab soalan ini...

Jamuan meraikan kemenangan 2 ADUN




Alhamdulillah jamuan meraikan kemenangan 2 ADUN PAS di Johor berlangsung dengan baik dan sempurna. Puluhan ribu pengunjung dari kalangan masyarakat tempatan pelbagai bangsa hadir di jamuan tersebut sejak jam 6 petang hingga waktu malam. Sepanjang ceramah berlangsung oleh barisan wakil 2 Parti BA dewan Jubli Intan Muar penuh sesak dengan manusia.




Gambar para hadirin menunjukkan segalanya. 10 minit selepas gambar ini di ambil, jurukamera di depan pentas turut diminta berganjak apabila tempat tersebut terpaksa di penuhi dengan para pendengar dari pelbagai kaum akibat kesesakan.

Jumaat, 14 Mac 2008

Siapa lebih kurang ajar? Siapa lebih celaru?

Dalam sibuk seluruh negara memperkatakan tentang isu perlantikan MB Perak, petang tadi, saya bersembang dengan kawan-kawan tentang mengapa tidak ada sesiapa yang bercerita tentang Perlis dan Terengganu yang masih tak selesai perlantikan menteri besarnya? Akhirnya teka teki itu terjawab apabila diumumkan tentang pemilihan Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis. Demikian menurut kenyataan setiausaha sulit Raja Perlis. Terjawablah mengapa sehingga hari ini Shahidan tidak mengangkat sumpah sebagai Menteri besar.
Namun begitu, Shahidan yang bermulut agak celupar itu dalam kenyataannya yang dikatakan terkejut dengan pemilihan Isa Sabu sebagai Menteri besar disamping mengulas bahawa kemenangan Barisan Nasional di Perlis sepatutnya di ambil kira. Agak sukar difahami apabila dia menyebut bahawa "kemenangan BN di Perlis bukan disebabkan rakyat memilih individu". Jika itu diambilkira, mengapa Shahidan perlu melatah apabila tidak dipilih sebagai Menteri Besar yang baru? Kerana rakyat Perlis memilih Barisan Nasional, bukan memilih Shahidan sebagai menteri besar. Dalam pada seluruh negara melabelkan Lim Kit Siang biadab apabila mempertikaikan pemilihan Ir Nizar sebagai MB Perak oleh Raja Dr Nazrin, rupanya ada seorang melayu yang bersikap biadab dengan Raja nya.
Kami meyakini kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis dalam meneliti latarbelakang wakil rakyat yang baginda yakini untuk menerajui negeri Indera Kayangan itu... Sewajarnya Shahidan perlu muhasabah diri, mengapa Baginda Raja Perlis tidak merestuinya sebagai menteri besar walaupun dia sudah mendapat watikah perlantikan sebagai Menteri Besar dari Abdullah Ahmad Badawi. Bak kata Aziz Desa, Cermin diri, hiasi peribadi...

Selasa, 11 Mac 2008

Gambar-gambar waktu pemasyhuran

Dimalam penjumlahan undi, hampir keseluruhan dewan dipenuhi oleh penyokong Barisan Alternatif. Hanya kelihatan beberapa orang penyokong Razali, Robia dan wakil calon kepada Hj Ismail Md Syah yg berada didalam dewan. Hj Ismail sendiri tidak kelihatan sepanjang tempoh penjumlahan undi.

Berbanding dengan Saudara Malik dan Cik Nah yang bersedia menerima keputusan dengan hati yang terbuka. Kepada Saudara Malik dan Cik Nah, harap terus berusaha dimasa akan datang, Kepada YB Dr Mohd Taslim, selamat berkhidmat. Sekarang masa untuk bekerja...

Dr Syeikh Ibrahim dinobatkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri N13 Sungai Abong

Isnin, 10 Mac 2008

2 Doktor PAS Melangkah ke Dewan Undangan Negeri

Setelah berhempas pulas sejak sekian lama, hari ini PAS negeri Johor mencatat sejarah apabila berjaya menempatkan 2 wakilnya ke Dewan Undangan Negeri Johor. Dr Muhammad Taslim Dari N15 Maharani Dan Dr Syeikh Ibrahim dari N13 Sungai Abong diberikan mandat untuk mewakili pengundi di kawasan masing-masing dalam Pilihanraya kali ke 12 ini.

Kemenangan Dr Syeikh Ibrahim dengan majoriti yang agak besar iaitu lebih 1500 undi dan Dr Mohammad Taslim dengan majoriti 158 Undi agak mengejutkan semua pihak. Pilihanraya kali ini juga turut mencipta sejarah bagi Negeri Johor apabila muncul antara negeri yang lewat mengumumkan penubuhan kerajaan negeri.

Pengumuman Kemenangan Dr Syeikh Ibrahim di N13 Sungai Abong diumumkan kira-kira jam 10 malam. Tetapi kemenangan Dr Muhammad Taslim di N15 Maharani hanya diumumkan kira-kira jam 1 pagi. Walau apa pun, Setinggi-tinggi kesyukuran di panjatkan kepada Allah yang maha kuasa atas limpah kurnianya yang mengizinkan semua itu berlaku menurut perancanganNya.

Satu pengajaran kepada semua, khususnya pemimpin UMNO Johor agak menjadikan peristiwa penting ini satu iktibar untuk mereka tidak lagi mengucapkan ucapan-ucapan yang sombong dan bongkak kerana kuasa kita manusia sangat terbatas. Sedangkan kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Masih terasa sakitnya hati ini bila membaca kenyataan-kenyataan sombong mereka "BN akan pastikan semua calon PAS hilang deposit", "Pembangkang tidak perlu bertanding di Johor", dan banyak lagi kenyataan-kenyataan lain yang menpunyak nada keangkuhan yang sama.

Sesungguhnya kita merancang, Allah juga merancang, namun Allah adalah sebaik-baik perancang. Kepada semua, maaf kerana belum dapat upload gambar-gambar waktu perisytiharan bersejarah itu, namun Insya Allah akan diusahakan dalam sedikit masa lagi.